PEKAN: “Anak muda patut ambil tahu, cakna pasal politik dan datang jengok kalau ada majlis libatkan pemimpin masyarakat. Kat situ baru kita kenal pemimpin mana yang ikhlas nak bantu rakyat.
“Macam saya pergi saja kalau mana-mana pemimpin datang, sebab itu yakin pemimpin BN (Barisan Nasional) betul betul nak bantu,” kata Muhammad Faiz Zainudin, 25, dari Indera Sempurna 1A, dekat sini.
Anak muda itu antara 100 penduduk sekitar yang menyertai program konvoi dan kibar bendera BN bersama penyandang dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Dato’ Khairuddin Mahmud di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gudang Rasau dekat sini, semalam.
Tambah Muhammad Faiz lagi, kebanyakan anak muda tidak peduli mengenai politik dan hanya menjadi ‘pak turut’ sahaja.
“Contohnya bila ada calon muda yang kononnya memperjuangkan integriti mereka sokong tapi hakikatnya ada dalam kalangan mereka yang ambil rasuah, harta berjuta.
“Mereka hanya mengambil kesempatan atas kenaifan anak muda sahaja,” katanya baharu beberapa bulan tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Sementara itu, Khairuddin berkata, BN sentiasa menganggap anak muda sebagai aset negara yang penting dan perlu diberikan informasi tepat supaya tidak termakan hasutan sesetengah parti politik.
“Macam saya sendiri akan memperjuangkan untuk menyediakan RTK (Rancangan Tanak Kelompok) untuk anak muda andainya diberi mandat sekali lagi menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Pulau Manis,” katanya yang yakin mampu menambah majoriti kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding sebelum ini. – HELMY ABD RAHMAN