Mohd Imran Izad
fikrahpahang@gmail.com
Gambar Mohd Imran Izad
ATLET negara, Ahmad Faizul Aswad Mohamed berjaya membantu skuad perahu layar negara (Sailing) meraih tempat ketiga keseluruhan pada kejohanan perahu layar Star Sailors League (SSL) Gold Cup di Grandson Marina, Switzerland.
Pertandingan selama seminggu berakhir kelmarin itu disertai 10 negara dan disifatkan kejohanan berprestij bertaraf antarabangsa.
Ahmad Faizul Aswad yang juga anak jati Pahang, kini bertugas dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Kerajaan Pahang, Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada Ahmad Faizul Aswad yang berjaya membantu pasukan perahu layar negara meraih tempat ketiga pada kejohanan perahu layar SSL itu.
Wan Rosdy berkata, kejayaan dipentas antarabangsa itu begitu bermakna bukan sahaja untuk negara tetapi buat negeri ini yang berjaya melahirkan seorang atlet berkemahiran tinggi.
“Ia perlu dibanggakan semua pihak apabila anak jati Pahang melakarkan kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya amat berpuas hati dengan pencapaian Ahmad Faizul Aswad yang mengharumkan nama negara.
“Pencapaian ini menjadi hadiah untuk negara dan Pahang amnya selain JKM selaku majikan. Saya berharap selepas ini kejayaan dapat terus dicapai pada kejohanan yang lain pula,” katanya.