Anak tukang rumah cemerlang STPM

Anak tukang rumah cemerlang STPM

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Muhammad Izz Zahin

KUANTAN: Seorang anak tukang rumah membuktikan mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang diumumkan hari ini.

  Nur Maisara Abdul Malik, pelajar Sekolah Menengah Dong, Raub memperoleh semua A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

  Malah, dia yang turut terpilih sebagai pelajar luar bandar cemerlang, amat berbangga dengan keputusan itu yang disifatkannya menebus kekecewaan apabila keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil pada 2018, kurang memberangsangkan.  

KUANTAN. Nur Maisara Abdul Malik menunjukkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

  “Bukan sahaja bersyukur, malah saya amat gembira kerana keputusan ini juga menebus kekecewaan apabila gagal memperoleh keputusan membanggakan dalam SPM 2018.

  “Keputusan SPM saya sekadar meraih 1A 3B dan 4C. Tapi, saya buktikan mampu memperoleh keputusan cemerlang jika gigih berusaha,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Susop, Raub.

  Nur Maisara berkata, kejayaan itu juga dicapai berkat doa dan sokongan daripada keluarga terutama bapa, Abdul Malik Hasan, 52 dan ibu, Ani Mohd Nor, 42.

  “Selain itu, kata-kata semangat yang diberikan guru dan rakan banyak membantu,” katanya.

  Mengulas perancangan selepas ini, Nur Maisara berkata, dia berhasrat untuk bekerja terlebih dahulu dan mengambil keputusan tidak terus menyambung pelajaran ke menara gading.

  “Memandangan dua adik masih lagi bersekolah, saya harap dapat membantu meringankan beban keluarga dan selepas itu baru fikir nak sambung pelajaran,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.