Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang memerlukan penambahan aset bagi menghadapi banjir dan ribut ketika musim monsun, hujung tahun ini.
Pengarah APM Pahang, Che Adam A Rahman, berkata pihaknya kini memiliki 1,199 anggota dan sukarelawan di samping 110 aset termasuk 74 kenderaan air dan 36 kenderaan darat di seluruh negeri ini.
“Di segi sumber manusia kita mencukupi namun di segi logistik masih belum mencukupi dan memerlukan pertambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program retreat kesiapsiagaan menghadapi monsun timur laut 2021/2022 peringkat APM Pahang di APM Pahang, di Beserah, hari ini.
Sementara itu, mengenai persiapan menghadapi musim tengkujuh, Che Adam berkata, setiap daerah mempunyai 301 petugas sepanjang 24 jam pertama.
“Seramai 411 petugas akan bersiap sedia bagi 48 jam kedua dan 466 petugas bagi 72 jam ketiga. Malah, tujuh pegawai dari pejabat negeri akan diarahkan membantu di lapangan jika diperlukan.
“Sebanyak 140 pangkalan hadapan serta 787 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dikenal pasti, Malah, kita sudah menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar bekalan makanan ke pangkalan hadapan.
“Proses penghantaran makan ke pangkalan hadapan dilaksanakan kira-kira dua minggu lalu di Ulu Tembeling, Jerantut. Lokasi seterusnya di Pulau Tioman, pada penghujung minggu depan.
“Kita ingin menasihati semua penduduk di kawasan berisiko banjir sentiasa berkomunikasi antara satu dengan lain, sentiasa peka dengan keadaan air sungai dan segera memberi amaran kepada jiran jika air sungai naik,” katanya.