KUANTAN: Hampir seribu anggota daripada 34 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Pahang bersiap sedia untuk membantu operasi sepanjang musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata 34 PBS yang berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang turut dibekalkan kenderaan dan peralatan.
Menurutnya, semua anggota berkenaan turut diberikan latihan bagi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.
“Sebenarnya pasukan ini berada dalam komuniti dan sekiranya berlaku sebarang kejadian, mereka akan memberikan segala maklumat dan menjalankan operasi lebih awal sementara menunggu kehadiran anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
“Oleh itu, kita mengharapkan pasukan ini dapat menjalankan tugas mereka dengan baik apabila berlaku kes di kawasan mereka,” katanya.
Abd Rahim berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Penyerahan Geran PBS di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN