KUANTAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Dato’ Umor Arbain Dollah dapat merasai angin perubahan sokongan pengundi yang dulunya mengundi pihak lawan, namun kini mula beralih kepada BN.
Keadaan ini membuatkan beliau yakin BN mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Contohnya pengundi Cina yang mana sekarang ini kita lihat lebih mesra dan dekat dengan BN terutama pada hari-hari terakhir berkempan.
“Begitu juga anak muda yang dulu anti kepada BN tetapi sekarang nampaknya mula sedar bahawa kita (BN) bukan sahaja benar-benar ingin membantu mereka, malah mempunyai kemampuan berbuat demikian berbanding lawan.
“Saya ada bertemu golongan pengundi muda yang mana mereka memberitahu apa yang paling diperlukan adalah supaya kita memperbanyakkan kemudahan sukan dan riadah.
“Selain itu, perumahan untuk generasi kedua FELDA dan ini yang akan saya laksanakan seandainya diberi mandat mewakili rakyat Sungai Lembing,” katanya kepada Fikrah Pahang,ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Lembing, dekat sini, semalam.
Menurutnya, beliau juga berhasrat memastikan infrastruktur asas dipertingkatkan dengan segera memandangkan Sungai Lembing adalah kawasan pelancongan yang semakin mendapat perhatian pelancong tempatan dan luar negara.
“Antara paling penting ialah capaian Internet, bekalan air dan api dan ia menjadi antara perkara yang akan saya tekankan,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin Sungai Lembing akan berubah wajah menjadi antara bandar pelancongan pilihan pelancong di negara ini dalam tempoh lima tahun lagi, asalkan mandat diberikan kepada BN.
“Keyakinan ini bersandarkan pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai RM100 juta yang sudah pun dimasukkan dalam Bajet 2023 dan apabila siap nanti selain adanya ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) yang dijangka siap pada 2026, kita akan menyaksikan peningkatan ketara kedatangan pelancong yang akan membawa limpahan ekonomi berganda kepada penduduk setempat,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN