Angka tak pernah bohong

Angka tak pernah bohong

KUANTAN: Dalam tempoh tidak sampai sebulan, Kerajaan Pahang berjaya menambah hasil sebanyak RM100 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM750 juta setakat ini.

Angka itu dikongsikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucaptama sebelum menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Bukit Kuin, Sabtu lalu.

Beliau berkata, ia membuktikan Kerajaan Pahang kini melakukan perkara betul sekali gus berada dalam landasan mencapai sasaran hasil sebanyak RM1 bilion menjelang akhir tahun.

“Baru tadi (kelmarin) Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri (Abu Bakar) beritahu saya setakat ini kita dah dapat hasil sebanyak RM750 juta.

“Ini hasil pengurusan kita yang efisyen dengan meminimumkan ketirisan dan ini bukan sesuatu yang direka-reka… angka tidak pernah berbohong tuan tuan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang komited untuk mengembalikan hasil yang diperoleh kepada rakyat.

“Kita akan simpan sikit dan selebihnya akan dipulangkan semula kepada rakyat. Kita beri macam-macam, antaranya Rumah Rakyat Pahang (RRP), Skim Tanah Rakyat (STR) dan Warisan (STW) serta pelbagai kemudahan menerusi inisiatif Pahang Pride.

“Kita dapat hasil ini pun dengan tidak menyusahkan rakyat, kita naikkan cukai tanah kepada mereka yang ada 10 ekar (4.04 hektar) ke atas dan terbaru kita dapat daripada TNB (Tenaga Nasional Bhd) yang menggunakan tanah kita untuk membina pencawang elektrik,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN