TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) menyasarkan untuk membantu 500 koperasi bermasalah kembali berada pada landasan betul seterusnya memberi keuntungan kepada ahlinya, tahun ini.
Presidennya, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata pihaknya bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sudah mengenal pasti koperasi yang akan dipulihkan itu dan menyediakan pelan pemulihan bersesuaian bagi menjayakan matlamat itu.
Untuk itu, katanya, ANGKASA dan SKM kini aktif mengadakan program turun padang bagi membantu koperasi-koperasi terbabit.
“Seperti dimaklumkan Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) baru-baru ini, terdapat 20 peratus daripada 14,600 koperasi, tidak aktif atau boleh dikatakan hidup segan, mati tak mahu.
“Sebenarnya kita (ANGKASA) dan SKM sudahpun mengenap pasti koperasi terbabit, yang mana boleh dipulihkan, yang mana tidak dan kedua-dua pihak kerap adakan program turun padang bersama untuk realisasikan hasrat membantu koperasi ini, yang mana tahun ini kita sasarkan untuk bantu 500 koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Penerangan UMNO Pahang dan Jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, antara masalah koperasi terbabit ialah ketiadaan mesyuarat agung tahunan, tiada aktiviti dan akaun tidak diaudit.
“Antara bentuk bantuan yang kita tawarkan ialah dengan membantu mereka mengadakan mesyuarat agung, bantu audit akaun dan untuk yang tidak aktif, kita twarkan projek perniagaan yang boleh dilaksanakan, antaranya peruncitan dan pertanian.
“Yang penting kita tak mahulihat koperasi-koperasi ini berkubur begitu sahaja dan ANGKASA serta SKM akan cuba selagi boleh untuk membantu mereka kembali bernafas,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN