Anugerah cemerlang berjaya urus ladang kelapa

Anugerah cemerlang berjaya urus ladang kelapa

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kesungguhan menguruskan ladang kelapa jenis mataq seluas lebih lapan hektar menjadi kelebihan pada seorang penyelia ladang untuk meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019.
Bagi Zulkipli Mohamed, 47, dia tidak menyangka tugas yang diamanahkan untuk menguruskan ladang kelapa sejak dua tahun lalu diperhatikan oleh Bahagian Pentadbiran Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) apabila memilihnya selaku penerima anugerah tahunan.
Menurutnya, ladang kelapa mataq milik KUIPSAS Holdings dan Koperasi Kariah Masjid KUIPSAS terletak Bunut Rendang, di sini yang mempunyai 2,265 pokok, dibangunkan untuk menghasilkan benih bagi pasaran tempatan dan luar Pahang.

Kuantan Oktober 2020- Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak (tengah) bergambar bersama Zulkipli Mohamed (dua dari kanan) di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 KUIPSAS di Auditorium KUIPSAS.
Gambar oleh Mohd Imran Izzad


“Setiap hari saya bertugas selama empat jam di ladang dan selebihnya menjalankan kerja di kawasan KUIPSAS yang turut menempatkan lebih 200 pokok kelapa mataq, pemantauan dilakukan bagi memastikan pokok sentiasa berkeadaan baik.
“Sepanjang dua tahun menguruskan ladang kelapa pelbagai cabaran terpaksa diharungi, lebih mencabar di peringkat awal ketika mengukur kawasan paya gambut berkenaan kerana terpakaa mengharungi air paya,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Belat, di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian APC KUIPSAS yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak di Auditorium
KUIPSAS, di sini.
Hadir sama Rektor
KUIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Seramai 38 kakitangan KUIPSAS menerima APC, Anugerah Khas Rektor dan Anugerah Kesetiaan KUIPSAS.
Zulkipli berkata, anugerah yang diterima selepas 18 tahun berkhidmat dengan KUIPSAS menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus gigih menguruskan ladang kelapa mataq. Sokongan kuat terutama daripada Rektor KUIPSAS menjadi landasan untuk melakar kejayaan dalam bidang baharu yang mampu memberi pendapatan lumayan dan menguntungkan.
Bagi Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman yang menerima
Anugerah Khas Rektor, anugerah yang diterima menjadi pendorong untuk dia lebih menumpukan kepada setiap tugas yang diamanahkan.
“Sokongan Rektor dan rakan-rakan membantu
melancarkan lagi setiap aktiviti
yang dirancang,” katanya.
Sementara itu Sallehuddin berkata, kakitangan di semua peringkat perlu memiliki kesungguhan yang tinggi untuk meletakan KUIPSAS pada landasan sebenar sebagai pusat pendidikan Islam yang terbaik di negara ini.
“KUIPSAS perlu terus berusaha melahirkan graduan cemerlang bertaraf dunia dalam bidang akademik dan tidak ketinggalan ilmu agama sebagai bekalan akhirat,” katanya yang berharap KUIPSAS menjadi gedung ilmu agama yang cemerlang.