KUALA LUMPUR: YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai nama timbalan menteri, pada malam ini.
Anwar berkata, beliau akan menghadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi mempersembahkan senarai nama berkenaan.
“Saya akan menghadap Yang di-Pertuan Tuanku (Agong) pada petang ini. Insya-Allah pada 8.15 malam, kita umumkan nama-nama timbalan menteri,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menghadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong.
Media melaporkan Anwar dijadualkan menghadap Al-Sultan Abdullah untuk memaklumkan senarai timbalan menteri yang bakal dilantik menyertai pentadbiran kerajaan perpaduan yang diterajuinya. – BERNAMA