Anwar umum Zahid dan Fadillah sebagai TPM 

Anwar umum Zahid dan Fadillah sebagai TPM 

KUALA LUMPUR: YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini, mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri dan 27 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato’ Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai timbalan perdana menteri. 

Pengumuman barisan Kabinet di Putrajaya pada 8.20 malam itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen serta platform media sosial dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan. 

Anwar mengangkat sumpah sebagai YAB Perdana Menteri ke-10 di hadapan KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 24 November lalu. – BERNAMA