Aokme ada masaaloh? Moh ngadu ke MB

Aokme ada masaaloh? Moh ngadu ke MB

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Zulkepli Osman

BENTONG: Rakyat Pahang bukan sahaja berpeluang ‘bertentang mata’, malah mengadu sendiri permasalahan yang mereka hadapi kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam siri Jelajah #KitaBersama bermula minggu depan.  

Menerusi siri jelajah berkenaan, YAB Menteri Besar bersama barisan Exco kerajaan negeri, dijadualkan turun padang ke seluruh Pahang untuk bertemu pemimpin masyarakat setempat dan bertemu serta mendengar keluhan rakyat di semua daerah.

Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer, berkata barisan kepemimpinan Kerajaan Pahang yang ‘dikemudi’ Wan Rosdy, akan mengadakan mesyuarat Exco di setiap lokasi yang dijadualkan bermula di Kuala Krau, 1 November ini.

“Program turun padang ke seluruh Pahang kali terakhir dibuat pada 2019 iaitu sebelum Covid-19 melanda.

“Menerusi siri jelajah kali ini, YAB Menteri Besar bersama ahli Exco menggunakan kesempatan mengadakan mesyuarat Exco di setiap daerah dan sambil itu bolehlah meninjau masalah dan isu penduduk setempat selain menggunakan kesempatan ini untuk mendekatkan lagi (diri) dengan pemimpin masyarakat serta rakyat,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program Turun Padang Menteri Besar ke Seluruh Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk jelajah kali ini, satu jenama baharu diperkenalkan iaitu Jelajah #KitaBersama yang membawa mesej kebersamaan dan inklusif antara kepemimpinan kerajaan negeri serta setiap golongan masyarakat di Pahang.

“Jenama baharu ini juga untuk membolehkan orang ramai menjiwai dan berasa teruja serta ‘looking forward’ (tidak sabar) supaya jelajah ini diadakan,” katanya. 

Menurutnya, siri jelajah berkenaan akan mendapat kerjasama pentadbiran daerah, tidak kira di peringkat kerajaan yang diketuai pegawai daerah (DO) dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain Kuala Krau, siri Jelajah #KitaBersama akan menemui masyarakat di Jerantut, Indera Mahkota, Temerloh, Kuantan, Maran, Pekan, Bentong, Lipis, Bera, Raub dan berakhir di Rompin pada Mac tahun hadapan.