TEMERLOH: Sekurang-kurangnya 203 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menerima duit Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM2,500, di sini, hari ini.
Penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Ketika berucap pada majlis itu, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang meminta semua penerima berjimat ketika berbelanja.
Katanya, lebih-lebih lagi ketika membeli kelengkapan bagi menyambut hari raya Aidilfitri.
“Sebaiknya, jangan membazir dan sikap berjimat cermat lebih berkat berbanding membeli barangan yang tidak perlu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mangsa banjir yang namanya tidak disenaraikan pada peringkat pertama akan menerima selepas ini.
“Kita harap tiada nama yang tertinggal untuk menerima bantuan ini,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN