Aokme boleh dok lari pakai topi bomba, pikul tong oksigen?

Aokme boleh dok lari pakai topi bomba, pikul tong oksigen?

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Tiga puluh anggota bakal membawa cabaran kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang ke Ujian Kecergasan Taktikal Kebombaan (UKTK) 2021 peringkat kebangsaan, 25 dan 26 Oktober ini.

Ketua Kontinjen JBPM Pahang, Khairul Ariffin Che Ramli, berkata kontinjen JBPM Pahang diwakili anggota lelaki dan perempuan yang bersaing dalam tujuh acara.

“Semua peserta kini sudah bersedia untuk bersaing dan lebih membanggakan apabila empat peserta wanita kini begitu bersemangat untuk turun ke gelanggang bagi memburu kejuaraan. 

“UKTK diadakan secara serentak seluruh negara dan kontijen JBPM Pahang akan beraksi di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dengan diadili beberapa juri,” katanya.

Ahli bomba, Shairul Aini Daut, 31, berkata dia berharap dua kali bersaing pada pertandingan sebelum ini akan memberikan kelebihan buat pasukannya.

Dia yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, berkata saingan acara individu adalah kemuncak dalam memburu kejayaan.

Rakanya, Siti Aishah Othman, 25, acara lari 30 meter sambil memikul hos semburan dan kemudian menggulungnya amat mencabar kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

“Bebanan yang hendak dibawa menjadi lebih mencabar apabila peserta perlu memakai seragam lengkap, termasuk topi dan tong oksigen.

“Tiada beza antara anggota lelaku dan perempuan. Semua acara perlu dilakukan dengan semangat,” katanya yang sudah enam tahun bertugas sebagai ahli bomba.