JERANTUT: Hujan renyai dan sesekali lebat tanpa henti menyebabkan paras air Sungai Tembeling naik sehingga menyaksikan lapan kedai di tepi sungai di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, ditenggelami air kira-kira 0.5 meter, malam tadi.
Kebanyakan penduduk sudah menjangkakan peningkatan paras air Sungai Tembeling berikutan hujan lebat tidak berhenti sejak pagi semalam.
Penduduk, Japrun Ali, 62, berkata, biasanya kawasan itu sering dinaiki air apabila hujan tidak berhenti di samping air sungai dari Hulu Terengganu turun ke Sungai Tembeling.
Beliau berkata, kebanyakan peniaga sudah bersedia mengemas dan mengangkat barang ke tempat lebih tinggi dan semua itu dilakukan sejak minggu lalu.
“Malah, kebanyakan pengusaha sudah menyediakan rumah rakit di sebelah kedai masing masing dan akan memindah barang jika hujan tidak berhenti,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE