Aokme di Pekan dan Maran berhati-hati yek

Aokme di Pekan dan Maran berhati-hati yek

KUANTAN: Paras air di beberapa sungai di Pekan dan Maran dijangka meningkat secara perlahan yang boleh menyebabkan banjir.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Ir Mohd Noor Bidin berkata, kawasan terbabit adalah di Chenor dan Lubuk Paku, Maran serta Paloh Hinai, Pekan.

Menurutnya, JPS mengharapkan tidak berlaku hujan lebat membabitkan lembangan Sungai Pahang secara berterusan dalam beberapa hari kerana faktor itu mengundang kemungkinan banjir.

“Kita dapati aliran air Sungai Pahang kini mula menghala ke Chenor terutama selepas paras air di Temerloh dan Water Front di Bera mula surut. 

 “Justeru, JPS Pahang menasihati penduduk mendiami berhampiran Sungai Pahang dan pernah mengalami kejadian banjir pada Januari lalu supaya bersedia dan berhati-hati,” katanya, di sini, hari ini.

Mengenai kejadian banjir besar yang berlaku di Pahang, Ir Mohd Noor berkata, pihaknya tidak sangka hujan lebat di beberapa kawasan empat hari berturut-turut bermula 16 Disember lalu, menyebabkan banjir.

“Kita sudah pun melakukan  pembersihan dan mendalamkan parit utama bagi melancarkan lagi aliran air berlebihan.

“Namun, taburan hujan yang luar biasa menyebabkan banyak kawasan banjir,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD