Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Rakyat negara ini yang sudah lengkap menerima dua dos vaksinasi boleh melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.
Kebenaran rentas negeri itu diumumkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pergerakan rentas negeri tidak memerlukan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat kerana pada peringkat awal kita terpaksa tegas dari segi soal pergerakan rentas ini.
“Tapi seperti yang dijanjikan apabila 90 peratus vaksinasi penduduk dewasa sudah dicapai, keluarga Malaysia boleh melakukan pergerakan rentas negeri termasuk pulang ke kampung.
“Saya percaya ramai yang tertunggu-tunggu pengumuman ini kerana terlalu rindu untuk pulang ke kampung bertemu keluarga khususnya ibu bapa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, aktiviti pelancongan di seluruh negara negeri turut dibenarkan.
Namun, beliau mengingatkan rakyat supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19.