KUANTAN: Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka terutama membabitkan perabot dan pakaian yang rosak akibat banjir.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan kebakaran tidak terkawal, pencemaran udara dan membahayakan kesihatan penduduk.
Menurutnya, perabot, pakaian dan peralatan lain yang rosak akibat banjir perlu dikumpul di kawasan rumah masing-masing bagi memudahkan Alam Flora memungutnya.
“Saya sudah mengarahkan syarikat konsesi supaya menambah lori dan jentera dalam usaha mempercepatkan proses memungut barangan rosak.
“Perabot adalah antara paling banyak musnah dalam banjir diikuti pakaian,” katanya, di sini hari ini.
Sharudin berkata, Taman Seri Inderapura, Kampung Telok Mahang, Taman Guru, Kampung Chendering dan Bukit Rangin adalah antara kawasan paling teruk dilanda banjir kali ini. – MOHD IMRAN IZZAD