JERANTUT: Jabatan Perikanan Pahang mengeluarkan amaran tidak membenarkan aktiviti menangkap ikan temelian (probarbus jullieni) di sungai di Pahang sepanjang tiga bulan bermula bulan ini.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, larangan dikeluarkan berikutan musim ikan terbabit bertelur dan akan berada kawasan air cetek secara berpasangan.
Menurutnya, ikan itu yang boleh mencapai berat 25 hingga 40 kilogram (kg) kini semakin berkurangan dan tidak mustahil menghadapi risiko kepupusan jika tangkapannya tidak dikawal.
Katanya, temelian atau temoleh adalah spesies ikan sungai yang hanya terdapat secara bebas di sungai utama di Pahang dan Perak serta permintaan terhadap ikan berkenaan adalah tinggi walaupun harganya mahal.
“Temelian akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan dan ini memudahkan nelayan darat menangkapnya hanya menggunakan jaring hanyut.
“Jabatan sudah memasang papan tanda di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai sebagai peringatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program lawatan ke Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Akuakultur Koperasi Tunas Lada dan Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Zam Aquatic, di sini, semalam.
Abdullah berkata, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap temelian dalam tempoh larangan (Februari-April) boleh dikenakan kompaun hingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan dirampas. – MOHD IMRAN IZZAD.