Aokme kebanggaan kami

Aokme kebanggaan kami

KUANTAN: Kerajaan Pahang berbangga dan mengucapkan tahniah kepada calon Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri juga amat berterima kasih atas komitmen tinggi ditunjukkan Jabatan Pendidikan Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Pahang, Yayasan Pahang dan semua guru yang terbabit secara langsung atau tidak mendidik semua calon berkenaan.

“Saya ucapkan tahniah kepada anak-anak (calon) STPM 2021 di Pahang yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Saya dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang (Sektor Pembelajaran), Abdul Rahim Mohd Yunus, bahawa calon (STPM) kita memperoleh GPS (Gred Purata Sekolah) 3.52, tertinggi sejak sistem modular diperkenalkan. 

“Kita juga mendapat keputusan PNGK (Purata Nilai Gred Keseluruhan) 4.0 iaitu peningkatan sebanyak 0.68 peratus berbanding tahun sebelum ini,” katanya, hari ini.

Seramai 59 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini mendapat keputusan PNGK 4.0 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 0.68 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Abdul Rahim ketika mengumumkan keputusan itu semalam, berkata daripada jumlah itu lapan calon adalah daripada aliran sains manakala 51 calon membabitkan aliran sastera.

Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, Jerantut muncul sekolah yang mendapat calon memperoleh PNGK 4.0 paling ramai iaitu tujuh orang.

“SMK (LKTP) Tersang, Raub pula mencatatkan prestasi cemerlang dengan GPS 3.52 mata, manakala SMK Dong, Raub pula muncul sekolah paling cemerlang dari sudut pencapaian 4P dengan 55 daripada 56 calonnya berjaya memperoleh 4P.

“Seramai 2,054 daripada 2,101 calon yang menduduki STPM 2021 mendapat kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran penuh dan daripada jumlah itu, lapan lulus penuh lima mata pelajaran manakala 1,644 calon lulus penuh empat mata pelajaran,” katanya di SMK (LKTP) Tersang, Raub, semalam.

Beliau juga menjelaskan, min GPS sekolah-sekolah negeri di Pahang sebanyak 2.90 mata adalah lebih tinggi daripada min GPS negara yang sebanyak 2.79 mata.

“Bagaimanapun, GPS di Pahang kali ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding STPM 2020 yang mencatatkan 2.92 mata,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN