KUANTAN: Dua sungai, masing-masing satu di Jerantut dan Maran merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran, pagi ini.
Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan adalah Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.
Berdasarkan rekod, Sungai Tembeling mencatat paras air 56.36 meter (m) berbanding paras amaran 56 m manakala Sungai Luit pula 27.42 m berbanding paras amaran 27m.
Empat sungai pula melepasi paras waspada iaitu Sungai Dong, Kampung Peruas di Raub, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong. Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut dan Sungai Kundang, Maran.
Sementara itu, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 2,465 mangsa banjir daripada 779 keluarga masih berada di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Temerloh, Bentong, Maran, Pekan dan Kuantan.
Ia menunjukkan penurunan berbanding petang semalam merekodkan 4,377 mangsa banjir daripada 1,349 keluarga berada di 38 PPS. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN