Aokme memang ‘steady’

Aokme memang ‘steady’

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar dan video Zulkepli Osman

TEMERLOH: “Pengalaman menyaksikan orang menjerit dan meraung kerana takut divaksin di sini akan terpahat sampai bila-bila dalam memori saya,” kata Nur Aniesya Athiqah Kamaruzaman, 19, sorang daripada sukarelawan bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Kampung Ketam di sini.

Remaja yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang komputer sains di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu antara 100 petugas yang berkhidmat selama kira-kira tiga bulan sehingga PPV itu tamat operasi minggu ini.

Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai ragam penerima vaksin, dia tidak pernah berkecil hati atau rimas dengan keadaan itu, sebaliknya menganggap ia asam garam sebagai petugas barisan hadapan.

“Mulanya terkejut juga dengan gelagat penerima vaksin… ada yang menangis, menjerit dan enggan masuk ke tempat vaksin.

Majlis Perpisahan petugas di PPV Dato Zaharuddin Abu Kassim, Kerdau

“Sebagai petugas, saya dan rakan cuba sebaik mungkin untuk pujuk mereka termasuk mencari ahli keluarga yang datang bersama supaya menemani penerima yang takut, dapat menerima suntikan,” katanya ketika ditemui pada majlis perpisahan ringkas di PPV berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan ahli UMNO Bahagian Kuala Krau serta pemimpin masyarakat setempat.

Pegawai Penyelaras Pusat Vaksin di PPV berkenaan, Nurul Balqis Zunaidi pula berkata, PPV yang dibuka 26 Jun lalu itu akan tamat operasinya 15 Oktober ini.

“Sebak juga sebab ukhwah semua petugas di sini memang rapat dan kita dah bersama sejak awal untuk buat pelbagai persediaan antaranya pasang ‘booth’ (reruai), sediakan stesen pendaftaran dan atur temu janji.

“Secara keseluruhannya tiada masalah besar dan kami mampu memberikan suntikan kepada 600 penerima sehari,” katanya.   

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, beliau amat berterima kasih dengan jasa serta sumbangan semua petugas barisan hadapan PPV itu sepanjang tiga bulan berkhidmat.

“Kita ucapkan penghargaan kepada petugas yang membantu dan bersedia berkhidmat bagi memastikan penduduk sekitar sini dapat divaksin, sebab itulah kami datang meraikan mereka,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang.