Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan warga Pahang supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun kita sudah memasuki Fasa 4, saya berharap rakyat sentiasa menjaga diri dan patuhi SOP setiap masa.
“Saya sentiasa mendoakan keselamatan agar kita dilindungi daripada perkara tidak diingini,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian selepas menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 Bilangan 59 Tahun 2021 (Siri 121) secara sidang video yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Pada 8 Oktober lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Pahang.
Peralihan itu dibuat mengikut garis panduan ditetapkan dan selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada 11 Oktober lalu, rakyat negara ini yang sudah lengkap menerima dua dos vaksinasi boleh melakukan pergerakan rentas negeri.
Justeru, pematuhan SOP perlu menjadi keutamaan bagi menyekat penularan COVID-19.