Aokmer belajorlah elok-elok yek

Aokmer belajorlah elok-elok yek

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

TEMERLOH: “Dengan bantuan dermasiswa ini, tak perlulah saya susahkan ayah untuk tanggung perbelanjaan masa belajar nanti,” kata Nurul Aleeya Natasha Kamarul Isham, 18, dari Kampung Sri Ketumbit, Kerdau, dekat sini.

Nurul Aleeya Natasha adalah seorang daripada enam remaja kurang berkemampuan daripada keluarga B40 yang ditawarkan tajaan dermasiswa Universiti Automotif Malaysia DRB HICOM (DHU) di Pekan.

Anak kedua daripada lima beradik itu ditawarkan mengikuti pengajian diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di universiti berkenaan.  

“Saya gembira sangat sampai tak tahu nak cakap apa bila tahu dapat tajaan dermasiswa ini.

TEMERLOH 24 SEPTEMBER 2021. Pelajar dari kiri Nurul Aleeya Natasya Kamarul Isham, Nur Ayuni Shamsul Baharin, Nurul As Syura Saiful Hisham dan Mohamad Aqwan Hakim Azri yang menerima tawaran dari Universiti Automotif DRB-HICOM dan Biasiswa Penuh Dermasiswa B40 kepada Anak Kerdau. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

“Tak perlulah saya menyusahkan ayah (Kamarul Isham Razali, 42) yang hanya kerja menoreh getah sepanjang tempoh belajar nanti,” katanya yang memperoleh keputusan 4A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Bagi Nurul As Syura Saiful Hisham, 18, tajaan dermasiswa berkenaan disifatkannya sebagai pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya harap bila lulus diploma Pengurusan Perolehan DHU nanti, dapat sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, seterusnya memperoleh pekerjaan yang baik.

“Saya berazam belajar bersungguh-sungguh demi membantu keluarga, apatah lagi ayah sudah tak bekerja,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang itu. 

Seramai enam pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau dan SMK Telok Sentang di sini, menerima tajaan dermasiswa daripada DHU di Pekan.

Majlis penyerahan surat tawaran diadakan diadakan secara ringkas di kediaman Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Khas Pejabat Naib Canselor DHU, Abdul Syafiq Ramlan, berkata setiap penuntut terbabit ditawarkan tajaan dermasiswa bernilai RM42,000 untuk meneruskan pengajian diploma selama dua tahun setengah di universiti berkenaan.

“Program ini bermula tahun lalu dan setakat ini kita nampak kesungguhan penuntut belajar bersungguh-sungguh dan mampu ‘score’ dalam peperiksaan walaupun ada antara mereka tak dapat keputusan begitu baik ketika SPM.

“Kita juga tawarkan dua kursus yang memang laris di bidang pekerjaan dan sekiranya dapati prestasi pembelajaran penuntut ini menurun, kita lakukan pelbagai program untuk memotivasikan mereka sehingga dapat keputusan cemerlang,” katanya.