KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan sokongan penuh cadangan membenarkan aktiviti berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1), di Jalan Mahkota, di sini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri secara dasarnya tiada masalah untuk memberikan kebenaran itu, namun ia masih tertakluk kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perlu dapatkan nasihat daripada MKN dari segi SOP (prosedur operasi standard) dan kita sokong dan beri kebenaran, namun ia bergantung kepada MKN.
“Mungkin mereka (MKN) akan luluskan, mungkin tidak lulus dan kalau lulus, mungkin ada syarat (tambahan) SOP dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengumumkan pendaftaran permohonan bagi Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (i-PUSH) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah.
Pada 23 Mac lalu, Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan cadangan bagi membenarkan aktiviti berbuka puasa di Padang MBK1 kepada kerajaan negeri dan MKN.
Pihak MKN, katanya, sudah menyatakan persetujuan untuk membenarkan permohonan itu, namun ia tertakluk kepada persetujuan Kerajaan Pahang.
Tradisi berbuka puasa di padang MBK1 adalah antara aktiviti dinanti-nantikan penduduk sekitar bandar raya ini selian turut menarik perhatian pelancong dari luar negeri ini.
Namun aktiviti berbuka puasa di padang awam tidak dibenarkan sejak dua tahun kebelakangan ini akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HELMY ABD RAHMA