GEORGETOWN: Anak Pahang yang sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, mempunyai ketokohan dan sifat kepimpinan Mat Kilau, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau berkata, ia dapat dilihat pada keyakinan pengacara majlis dan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua (YDP) Perkumpulan Siswa dan Siswi Pahang (PERDAMA) USM, Natasya Ahmad Badli.
“Kerajaan negeri gembira melihat anda semua berada di landasan yang betul… pengacara majlis saya tengok baca doa dah macam Mufti Mesir, berwibawa (dari segi) pembukaan tahmid, salawatnya, baris depan, atas, ‘grammar’ (tatabahasa), nahu semua cantik, manakala ketua pelajar pula berucap dah setanding dengan prof (Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar Prof Dr Azlina Azman).
“Tidak terlalu ‘low-profile’ (merendah diri) tapi tak pula berlebih-lebih. Kita nak macam ni, bersederhana tapi tak terlalu merendah, ada kebolehan tapi tidak bermegah mengikut gaya orang Pahang. Mat Kiau dulu pun macam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Siswa dan Siswi kelahiran Pahang sebanyak RM200 seorang di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Seramai 154 daripada keseluruhan 204 penuntut anak Pahang yang sedang mengikuti pengajian di USM menerima bantuan daripada Kerajaan Pahang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM43,000.
Menurutnya, kerajaan negeri juga mengguna pakai pendekatan bersederhana dalam menjalankan kewajiban mentadbir Pahang.
“Kita (kerajaan negeri) buat kerja secara ‘low-profile’, ‘slow-slow’ (diam-diam), sedar tak sedar hutang negeri makin mengurang. Jika dulu hutang asal kita tanggung ialah sebanyak RM3.2 bilion, namun sekarang tinggal cuma RM840 juta lagi.
“Begitu juga pendapatan kita (negeri) pada 2019 mencatatkan RM847 juta, 2020 (RM850 juta), 2021 (RM866 juta) dan tahun ini kita sasarkan sebanyak RM1 bilion, manakala pelaburan juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak RM6.7 bilion (2020), RM11.1 bilion (2021) dan tahun ini kita sasarkan RM18 bilion,” jelasnya.
Difahamkan, sebanyak RM8.5 juta diperuntukkan Kerajaan Pahang bagi menjayakan (BPP) 2022 Siswa dan Siswi kelahiran Pahang tahun ini.
Sementara itu, penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Muda Media Baharu, Chin Li Xin, 20, dari Temerloh, berkata dia terharu menerima bantuan itu.
“Memang bantuan ini sangat diperlukan kami untuk buat belanja sepanjang pengajian di sini, tambahan pula dalam keadaan kenaikan harga barang sekarang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN