KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta rakyat di negeri ini mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diminta untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga masing-masing terjamin.
Katanya, langkah itu membolehkan bantuan awal disalurkan dengan tersusun dan sistematik kepada mangsa banjir.
“Bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini, sejumlah RM47 juta peruntukan diluluskan kerajaan negeri yang mana semua jentera dan aset agensi penyelamat di Pahang sudah pun bersiap sedia lebih awal.
“Dengan pengalaman banjir sebelum ini dan penambahbaikan yang dicadangkan pihak berkaitan termasuk Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, saya yakin banjir yang melanda kali ini kita mampu hadapi dengan lebih baik.
“Terima kasih juga kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang menggerakkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) bagi membantu mangsa banjir di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN