Aokmer jagalah leklok harta yang kerajaan negeri bagi ni

Aokmer jagalah leklok harta yang kerajaan negeri bagi ni

TEMERLOH: “Jaga, bayar cukai dan jangan jual,” itu pesanan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada 114 penduduk Kampung Teris yang menerima Geran Hak Milik Skim Tanah Rakyat (STR) Warisan Kemuning dan 89 penduduk Kampung Desa Bakti di sini yang mendapat Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis 5A), hari ini.

Beliau berkata, setiap penerima juga harus sentiasa beringat dan bersyukur kerana permohonan mereka diluluskan.

“Bukan semua orang dapat dan bernasib baik seperti mereka dan bukan semua orang yang melakukan permohonan dapat diluluskan oleh kerajaan negeri. 

“Oleh itu, jagalah tanah ini dengan baik, bayar cukai tanah dan jangan jual (sebaliknya) usahakan tanah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas menyampaikan Geran Hakmilik STR Warisan Kemuning dan Notis 5A kepada lebih 200 penerima di daerah ini di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin; ADUN Kerdau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan ADUN Kuala Semantan, Dato’ Nor zmi Mat Ludin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, ‘hadiah’ Kerajaan Pahang kepada penduduk Lanchang itu adalah bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki tanah sendiri.

“Ia juga untuk menggalakkan mereka mengusahakan tanah bagi memperoleh pendapatan tambahan. 

“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan dan menambaik baik sosio-ekonomi rakyat Pahang. Tahniah kepada semua penerima dan saya berharap sumbangan ini dapat dijaga dengan sebaiknya dan diwariskan dari generasi ke generasi,” katanya. – KHABI ISMAIL