KUANTAN: Polis Pahang bersedia menggerakkan pegawai dan anggotanya menjalankan lebih banyak pemeriksaan rawak di lokasi tumpuan pelancong di negeri ini menjelang cuti persekolahan yang bermula Sabtu ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada keperluan menambahkan jumlah pegawai dan anggota bagi tujuan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan pelancong.
“Pegawai dan anggota sedia ada masih mencukupi untuk tujuan pemantauan SOP. Sebagai contoh, di Pulau Tioman, pegawai dan anggota kita memang diarahkan membuat semakan di jeti bagi memastikan hanya mereka yang sudah lengkap vaksin dibenarkan ke pulau itu.
“Begitu juga di Cameron Highlands, mereka akan melakukan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran SOP yang sudah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pahang Pride Student yang dirasmikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak.
Dalam pada itu, Ramli berkata, satu kompaun dikeluarkan polis Pahang kepada pengunjung Pulau Tioman dua hari lalu kerana gagal menunjukkan bukti vaksinasi ketika pemeriksaan rawak dilakukan.
“Setakat ini cuma satu (kompaun) dikeluarkan polis di negeri ini. Pendekatan polis Pahang masih sama, kita jarang keluarkan kompaun, macam di Pulau Tioman itu, kita keluarkan kerana ia membabitkan kesalahan sangat melampau, macam mana boleh lepas ke Pulau Tioman tanpa sijil vaksin.
“Secara ringkasnya, polis masih mengambil pendekatan memberi nasihat terlebih dahulu sebelum bertindak mengeluarkan kompaun membabitkan kegagalan pematuhan SOP,” katanya.
Menurutnya, pihak polis tidak boleh menghalang orang ramai untuk mengunjungi kawasan tumpuan pelancongan kerana itu adalah hak mereka.
“Paling penting, semua pihak memainkan peranan bagi memastikan aspek pematuhan SOP sentiasa diberi keutamaan sepanjang masa,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN