KUANTAN: Sekurang-kurangnya 341 aduan salah laku media baharu dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, aduan membabitkan penipuan dan ugutan yang dilakukan individu melalui media sosial dan emel.
Menurutnya, angka itu tidak begitu tinggi jika dibandingkan 879 aduan yang diterima pada 2021 dan jumlah berkenaan sudah dimaklumkan kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, perbincangan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), SKMM dan beberapa wakil Kerajaan Pahang akan diadakan bagi membincangkan mekanisme supaya mangsa siber buli dapat membuat aduan segera.
“Hasil perbincangan itu nanti akan disampaikan kepada rakyat Pahang terutama mereka yang terkesan penipuan dalam talian ini mengetahui langkah tepat untuk membuat aduan.
“Ini jelas membuktikan kerajaan negeri amat mengambil berat dan serius menangani salah laku di media baharu dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Open Source Intelligence (OSINT) anjuran SKMM dengan kerjasama PDRM, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD