KUANTAN: Kerajaan Pahang berbangga dengan pencapaian memberangsangkan ditunjukkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini, walaupun terpaksa belajar dalam kekurangan susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kejayaan 300 pelajar memperoleh A penuh juga boleh dijadikan pembakar semangat kepada bakal calon SPM untuk tahun ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada pelajar yang mendapat gred A dan sekolah-sekolah cemerlang yang boleh menjadi contoh untuk kita memperoleh keputusan lebih baik.
“Kita tidak nafikan pandemik COVID-19 dan PdPR menyebabkan pencapaian sedikit menurun berbanding tahun lalu, namun demikian kita yakin kecemerlangan pelajar ini boleh dijadikan motivasi untuk calon tahun ini,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Seramai 300 daripada 17,528 calon SPM 2021 di Pahang memperoleh keputusan semua A, manakala pencapaian keseluruhan prestasi Gred Purata Negeri (GPN) Pahang ialah 4.74.
Sebanyak 10 sekolah tersenarai sebagai sekolah terbaik termasuk tiga sekolah harian iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, Kuantan; Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah, Raub; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan dan SBPI Temerloh, Temerloh.
Selain itu, SMK Jengka Pusat, Maran; Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong, Bentong; SMK Seri Bera, Bera; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; SBPI Tun Abdul Razak (Pekan) dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan pelajar di negeri ini memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan.
“Sebab itu kerajaan negeri menerusi idea YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya Pahang Pride Student dan menyokong penuh program Transformasi Pendidikan Pahang bagi memastikan pelajar kita terus cemerlang dalam pelajaran,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN