KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperkenalkan proses pembayaran tanpa tunai (cashless) di 25 lokasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di daerah ini.
Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin berkata, peniaga dan pembeli boleh membuat urus niaga menggunakan aplikasi dompet digital Boost (e-Wallet Boost) dengan mengimbas kod Respons Pantas (QR).
“Proses yang diperkenalkan itu akan memudahkan pengguna dan peniaga kerana tidak lagi perlu memegang wang tunai yang banyak dalam satu-satu masa.
“Peniaga juga tidak perlu bimbang untuk memulangkan baki wang kepada pelanggan selain mengelak kejadian penggunaan wang palsu,” katanya dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan Boost untuk memberi kemudahan itu kepada peniaga dan pengguna yang mengunjungi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri tahun ini. – MOHD IMRAN IZZAD