JERANTUT: Bagi kawasan perkampungan warung kopi dan kedai makan menjadi tumpuan penduduk kampung untuk bersarapan sebelum bekerja.
Begitu juga bagi calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila menjadikan warung kopi sebagai tempat untuk berjumpa pengundi.
Oleh itu, tidak hairanlah calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ingin bersarapan bersama pengundi bertembung di kedai sama di Kuala Tembeling.
Itulah yang berlaku pada pagi 8 November apabila calon BN Parlimen Jerantut, Dato’ Mohd Zukarmi Abu Bakar; calon BN DUN Tahan, Faezah Ishak dan mantan Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris bertembung dengan calon PN bagi Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khairudin dan calon PN DUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.
Mohd Zukarmi berkata, mereka duduk semeja bersama penduduk kampung sambil beramah mesra dan bertanya khabar di antara satu dengan lain.
“Kita kemukakan budaya politik matang dan sejahtera kerana masing masing membawa hasrat untuk membantu rakyat di kawasan masing masing,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE