KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang sentiasa dalam keadaan siap siaga berikutan ramalan cuaca buruk sepanjang minggu ini.
Pengarahnya, Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata pemantauan berkala dilakukan pegawai dan anggota APM untuk memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
Katanya, walaupun ramalan hanya membabitkan tiga daerah iaitu Kuantan, Jerantut dan Pekan, pemantauan turut dilakukan di daerah lain.
“Bukan sahaja Kuantan, Jerantut dan Pekan, malah daerah lain seperti Lipis, Temerloh dan Bentong turut diberikan perhatian.
“Kita tidak mengambil mudah ramalan hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
METMalaysia dalam kenyataan semalam, mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berterusan di lapan negeri sehingga Ahad ini dan menasihatkan orang ramai bersedia menghadapi cuaca buruk itu.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN