APM dan bomba siap sedia hadapi kemungkinan banjir

APM dan bomba siap sedia hadapi kemungkinan banjir

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan banjir berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini sejak Khamis lalu.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata pihaknya memantau perkembangan semasa di 11 daerah ketika ini.

“Saya juga sudah arahkan pegawai APM daerah untuk melaporkan segera kepada ibu pejabat APM negeri jika berlakunya banjir.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada kejadian banjir dilaporkan,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah, berkata jabatan itu sentiasa bersedia dari aspek keanggotaan dan peralatan serta aset berkaitan bagi menghadapi kemungkinan banjir pada bila-bila masa.

“Semua ketua balai sudah diarah membuat pemantauan kenaikan paras air di semua sungai berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN