APM guna dron pantau bah

APM guna dron pantau bah

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menggunakan dron bagi memantau keadaan banjir di kawasan yang terputus hubungan.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, dron juga digunakan untuk meninjau laluan yang terputus, pokok tumbang dan tanah runtuh bagi mendapat gambaran sebenar keadaan di lokasi kejadian.

Menurutnya, sudah tiba masanya APM menggunakan teknologi terkini dalam usaha melancarkan lagi tugas yang diamanahkan.

“Saya akan berusaha menambah jumlah dron bagi kemudahan anggota di setiap daerah menjalankan tugas terutama setiap kali berlaku Monsun Timur Laut (MTL). 

“Kita juga akan menghantar anggota untuk mengikuti kursus mengendalikan dron dalam memastikan kemudahan berkenaan dapat digunakan secara menyeluruh dalam pelbagai tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima seunit dron sumbangan Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Dr Lee Leong Weng, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD