APM Pahang bantu mangsa banjir di Terengganu

APM Pahang bantu mangsa banjir di Terengganu

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menghantar pasukan sokongan bantuan bencana banjir ke Kemaman dan Dungun, Terengganu semalam bagi membantu mangsa banjir di dua daerah itu.

Pengarahnya Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata pasukan berkenaan yang disertai enam pegawai, membawa bersama dua lori lima tan yang akan digunakan untuk memindahkan mangsa banjir.

Menurutnya, bantuan pertama disediakan itu mengikut keperluan bantuan sokongan yang diperlukan oleh APM Terengganu mengikut situasi bencana banjir yang sedang berlaku kini.

Katanya, beliau difahamkan, APM Terengganu kini turut menerima bantuan sokongan pasukan termasuk kemudahan logistik operasi daripada beberapa negeri lain.

“Sekiranya diperlukan, kita akan menghantar lebih ramai lagi anggota termasuk pengangkutan (lori) dan bot bagi melancarkan lagi operasi membantu menyelamatkan mangsa banjir di Terengganu.

“Kita juga akan menghantar pasukan bantuan bencana banjir ke Kelantan sekiranya keadaan memerlukan, kerana difahamkan keadaan banjir di negeri berkenaan agak membimbangkan,” katanya ketikA dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihaknya turut bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir dibeberapa daerah di negeri ini sekiranya hujan terus berlarutan.

“Mereka yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air diingatkan supaya bersiap sedia sekiranya arahan untuk berpindah dikeluarkan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.