APM Pahang berusaha tambah lebih ramai ahli Cdert-C

APM Pahang berusaha tambah lebih ramai ahli Cdert-C

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menyasarkan sebanyak 500 ahli Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (Cdert-C) baharu di negeri ini tahun depan.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pada masa ini,  terdapat seramai 509 ahli di lapan daerah yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain menghulurkan bantuan kecemasan ketika diperlukan.

Menurutnya, daerah ini mencatatkan jumlah teramai ahli Cdert-C iaitu seramai 217 ahli yang terdiri daripada golongan belia yang menetap di lima kampung luar bandar.

JERANTUT..Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) 
Che Adam A Rahman (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan ahli Cdert-C di Kuala Tahan.

Katanya, Mukim Teh mencatat jumlah ahli teramai dengan 65 ahli diikuti Mukim Tembeling Tengah seramai 63 ahli, Mukim Hulu Cheka (31) dan Mukim Tebing Tinggi (20).

“Daerah lain yang mempunyai ramai ahli ialah Bentong seramai 101 ahli diikuti Temerloh (75), Maran (45), Bera (21), Lipis (20), Raub (20) dan Kuantan (10). Usaha menubuhkan pasukan Cdert-C di daerah lain juga sedang dilakukan.

“Kita menggalakkan golongan belia untuk mendaftar sebagai ahli Cdert-C dan latihan disediakan untuk mereka dalam menambahkan kemahiran,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Cdert-C Mukim Tembeling Tengah serta program agihan bakul makanan kepada penduduk dibeberapa kampung di kawasan Ulu Tembeling, di sini kelmarin.

Che Adam berkata, pembabitan golongan belia dalam pasukan Cdert-C turut memberi peluang kepada mereka menambahkan pendapatan menerusi bayaran elaun yang diterima setiap bulan.

Menurutnya, berikutan penularan COVID-19, pihaknya turut menubuhkan Skuad Agen Basmi COVID-19 yang berperanan sebagai petugas barisan hadapan dan bertanggungjawab membantu kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa lain.

“Saya juga sudah arahkan supaya semua ahli Cdert-C di setiap daerah supaya bersiap sedia menghulurkan bantuan sekiranya keadaan memerlukan, kerjasama dengan pihak berkuasa perlu digemblengkan, menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Kita ingin melihat ahli Cdert-C menjadi antara individu penting dalam aktiviti membantu mangsa banjir selain bertugas disetiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.