APM Pahang sedia hadapi Monsun Timur Laut

APM Pahang sedia hadapi Monsun Timur Laut

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Seramai 1,199 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata sehubungan itu, semua 11 APM di setiap daerah sudah menjalani latihan simulasi banjir sebagai persiapan awal.

Beliau berkata, latihan simulasi itu turut membabitkan kerjasama bersama agensi lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dari segi kemudahan pengangkutan termasuk bot, segalanya dalam siap siaga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya memiliki 74 kenderaan air iaitu bot jenis aluminium, gentian kaca dan tempur.

Jelasnya lagi, kenderaan darat pula membabitkan kereta, lori, bas, ambulans dan kenderaan pacuan empat roda.

“Dalam tempoh terdekat ini, APM Pahang sudah bersedia menghadapi musim tengkujuh ini untuk memastikan segala urusan dipermudahkan,” katanya.