APM Pahang sedia hadapi tengkujuh

APM Pahang sedia hadapi tengkujuh

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang kini dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan November ini.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, 132 pegawai dan 764 anggota mahir serta terlatih di 11 daerah kini bersedia memberi bantuan apabila diperlukan.

Menurutnya, selain memberi bantuan memindahkan mangsa banjir menggunakan bot dan lori, pihaknya turut berada di 808 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri yang mampu menempatkan lebih 166,295 mangsa.

“APM Pahang mempunyai 11 Bilik Gerakan, 11 Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD), tiga Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) dan satu Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) di Pahang yang beroperasi 24 jam.

“Kita menyenaraikan 554 kawasan di 11 daerah di negeri ini yang berisiko atau mudah dinaiki air dan berlaku banjir,” katanya selepas menyertai Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi MTL di Sungai Kuantan, di sini, hari ini.

Latihan berkenaan disertai 20 anggota APM negeri dan daerah membabitkan latihan menyelamat di air menggunakan bot. – MOHD IMRAN IZZAD