APM tangkap tedung selar dalam reban

APM tangkap tedung selar dalam reban

KUANTAN: Kira-kira 15 minit diperlukan untuk menangkap ular tedung selar sepanjang lima meter di Kampung Baru Sri Pandan (F) Panching Timur, di sini, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said, berkata reptilia yang dianggarkan seberat 12 kilogram itu ditangkap dengan menggunakan penjerut dan pengepit.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk yang memaklumkan mengenai kehadiran ular tedung selar di dalam reban itik, pada 3.38 petang.

“Berikutan itu, tiga anggota APM Kuantan bergegas ke tempat kejadian untuk menangkap reptilia terbabit yang ketika itu masih berada di dalam reban itik.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota kami mengambil kira-kira 15 minit untuk menangkap ular tedung selar terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan melepaskan ular tedung selar itu ke kawasan hutan di sekitar daerah ini. 

“Tindakan itu untuk memastikan reptilia ini tidak memberi ancaman kepada manusia,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN