Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
ROMPIN: Tujuh belas kontak rapat pesakit COVID-19 dari Pulau Tioman, di sini, terpaksa menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KM Tatau untuk dipindahkan ke Pusat Kuarantin Kuala Rompin, di sini, Kelmarin.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Dato’ Amran Daud, berkata bantuan pemindahan perubatan (MEDEVAC) itu dilakukan selepas pihaknya dihubungi Pejabat Klinik Kesihatan Pulau Tioman.
“Kesemua kontak rapat berkenaan dihantar ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, di sini, selepas mereka mendapat arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Kuala Rompin bagi tujuan pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, KM Tatau yang beroperasi di sekitar perairan Pulau Tioman dengan semua pegawai dan anggota lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) telah ke Pulau Tioman bagi melaksanakan khidmat MEDEVAC itu.
“KM Tatau tiba di lokasi pemindahan kira-kira 12 tengah hari, terus memindahkan 17 kontak rapat COVID-19 untuk dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading dengan perjalanan sekitar tiga jam.
“Kapal dan anggota APMM yang bertugas kemudiannya turut disanitasi dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.