KUANTAN: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan tempatan bersama lima kru warga Myanmar di kedudukan 0.68 batu nautika dari Muara Sungai Kuantan, di sini, 3 Jun lalu.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, penahanan itu dibuat ketika anggota melakukan rondaan Op Makmur di perairan itu, pada 10.15 pagi.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati mereka yang berusia antara 22 dan 27 tahun itu terbabit tidak mempunyai permit kerja sah. Semua mereka adalah warga Myanmar yang mempunyai pengenalan diri mencurigakan.
“Kita turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 730 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, barang yang dirampas dibawa ke Jeti Penerpa untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen dan tidak mempunyai pas kerja yang sah. – MOHD IMRAN IZZAD