Aqmal gementar bertemu Agong, Permaisuri

Aqmal gementar bertemu Agong, Permaisuri

KUANTAN: “Saya tak sangka dapat bertemu KDYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” kata Muhammad Aqmal Fiqrie Azrin.

Remaja berusia 16 tahun itu berkata, meskipun gementar, dia sememangnya teruja sebaik baginda berdua singgah untuk minum air kelapa di gerainya, semalam.

Katanya, perasaan gementar juga menyebabkan suaranya tersekat-sekat apabila baginda berdua bertanyakan umur dan sekolah.

“Walaupun gementar, saya lega dapat menjawab setiap pertanyaan dan sememangnya teruja apabila dapat bertemu baginda berdua.

“Ia pengalaman yang tidak akan dilupakan dan gembira dengan sikap ramah baginda berdua,” kata pelajar tingkatan empat itu ketika ditemui, di sini, hari ni.

Muhammad Aqmal Fiqrie

Tambah Muhammad Aqmal Fiqrie, mulanya dia hanya melihat kenderaan yang dinaiki baginda berdua serta kenderaan lain membuat pusingan U.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila kenderaan dinaiki baginda berdua berhenti dan ketika itu Permaisuri Agong menurunkan cermin tingkap kenderaan bertanyakan air tebu.

“Saya cakap air tebu tidak ada hari ini (semalam) sebelum Agong dan Permaisuri Agong turun sebelum membeli air kelapa muda serta jeli kelapa,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu. 

Istana Negara menerusi satu hantaran di Facebook rasminya semalam memaklumkan, baginda berdua berkenan singgah di gerai air kelapa berhampiran Istana Abdulaziz.

Ketika itu, baginda berdua dalam keberangkatan pulang ke Istana Abdulaziz dari lawatan kerja ke ladang Yayasan Pahang di Gambang, di sini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN