Aras jalan di Paya Garuk akan ditinggikan

Aras jalan di Paya Garuk akan ditinggikan

JERANTUT: Aras jalan di Paya Garuk, dekat sini, akan ditinggikan sebagai usaha untuk mengatasi masalah terputus hubungan setiap kali berlaku banjir. 

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy ketika meninjau kawasan itu berkata, perancangan untuk menaik taraf jalan Paya Garuk dengan meninggikan aras jalan sepanjang satu kilometer itu membabitkan kos kira-kira RM14 juta.

Menurutnya, jalan itu penting kerana menjadi penghubung kepada 4,200 penduduk yang mendiami di 26 kampung. 

Jalan itu sering ditenggelami air sehingga lebih dua meter ketika banjir dan menyukarkan penduduk Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan kampung tradisional di kawasan Tembeling Tengah dan Hulu Tembeling untuk ke Jerantut. 

Selain itu, laluan itu juga adalah jalan utama ke Taman Negara, Kuala Tahan dan menjejaskan kedatangan pelancong ke pusat pelancongan terkenal itu. – MUHAMMAD NAJMIE