Oleh Team Fikrah
Gambar ihsan Istana Negara
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca.
Sumbangan berkenaan bertujuan bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
Selain itu, penghargaan turut dizahirkan buat Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Jepun dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin ini.
Bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 pada 5.20 petang, Khamis, 1 Julai lalu.
Sumbangan ini juga sekali gus menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos.
Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, atas kemurahan hati Kerajaan Jepun menyumbang sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia.
Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – ISTANA NEGARA