Aset Polis Marin cukup menghadapi musim tengkujuh

Aset Polis Marin cukup menghadapi musim tengkujuh

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Aset Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga cukup bagi melaksanakan operasi menyelamat jika berlaku banjir.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan luar jika berlaku keadaan luar jangka. 

“Kita akan mendapatkan bantuan aset PPM dari wilayah lain sekiranya ada keperluan seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan demonstrasi mencari dan menyelamat PPM Wilayah Tiga di Jeti PPM dekat Padang Lalang, di sini, hari ini.

Katanya, 11 pegawai kanan dan 89 pegawai rendah PPM akan ditugaskan di lapangan untuk membantu Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) dan balai di seluruh Pahang, sebagai persediaan awal menghadapi musim tengkujuh.

Mengenai program terbabit, Ramli berkata, demonstrasi itu adalah sebagai latihan bagi memantapkan fizikal dan mental pegawai dan anggota di samping menguji aset dan kelengkapan menyelamat. 

“Sehingga ini, PPM Wilayah Tiga memiliki 20 aset kenderaan darat dan air termasuk tujuh bot dan lima jet ski yang akan digunakan untuk operasi menyelamat sekiranya berlaku banjir.

“Setiap tahun cuti pegawai dan anggota juga akan dibekukan. Malah, mereka yang sedang bercuti juga akan dipanggil untuk bertugas. Namun, arahan terbabit belum dikeluarkan,” katanya.