KUANTAN: Asrama Pusat Pemulihan Orang Cacat (PPOC) di Sungai Lembing dekat sini yang sedang menjalani proses naik taraf, bakal menjadi pemangkin untuk membuka ruang dan peluang lebih besar kepada golongan orang kurang upaya (OKU) berdikari dengan bekerja sendiri.
Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata kerja-kerja baik pulih membabitkan kos hampir RM600,000 itu dijangka siap sepenuhnya dan dapat diduduki awal Julai ini.
Katanya, langkah menaik taraf asrama itu juga akan meningkatkan kemampuan PPOC untuk menjurus ke arah penyediaan perkhidmatan lebih baik.
“Dengan adanya asrama yang lebih besar dan selesa ini, boleh berlaku pertambahan pekerja dalam kalangan OKU yang juga membolehkan mereka berdikari mencari kerja sendiri.
“Mereka juga akan mendapat keuntungan yang lebih dengan banyaknya perkhidmatan yang ditawarkan dan keuntungan ini akan memberi pulang balik kepada PPOC untuk terus menjadi pusat yang dapat menyediakan pekerja dalam kalangan OKU,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas meyertai warga PPOC Sungai Lembing memasak bubur lambuk bagi diedarkan kepada penduduk setempat.
Tambahnya, langkah menaik taraf asrama PPOC Sungai Lembing juga amat penting kerana ia menjadi kelayakan untuk mendapatkan geran disediakan kerajaan.
“Antara syarat penting untuk kelulusan geran ini, mana–mana pusat pemulihan OKU mesti mempunyai asrama yang baik dan lengkap.
“Itu sebabnya kira-kira setahun lalu bila saya hadir ke sini bersama YAB Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz), kita dapat melihat dan Kementerian Kewangan meluluskan satu peruntuan hampir RM600,000 untuk mereka menaik taraf asrama,” katanya yang berpuas hati dengan perjalanan kerja naik taraf itu ketika beliau melakukan lawatan semalam. – HELMY ABD RAHMAN