PASUKAN Pahang membuktikan kehebatan apabila muncul juara keseluruhan acara menembak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 dengan meraih lapan pingat, lima perak dan empat gangsa.
Prestasi cemerlang Tok Gajah dalam acara berkenaan bermula SUKMA 2012 dengan meraih 20 emas diikuti SUKMA 2016 (11 emas) dan 2018 (9).
Pada SUKMA kali ini pingat emas disumbang oleh lapan penembak muda dalam acara individu dan berpasukan.
Atlet berpengalaman Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza, Izzuddin Muhamad Shafri, Cheah Zen Hong, Azrul Akmal Zulkefli dan Muhammad Adib masing-masing berpuas hati meraih dua pingat emas dalam acara individu dan berpasukan.
Jurulatih acara pistol pasukan Pahang, Elena Sotnit berkata dia berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan atlet Pahang pada SUKMA kali ini.
“Pada SUKMA kali ini kita berjaya membawa pulang lapan pingat emas berbanding sembilan emas pada SUKMA Perak 2018. Walaupun kurang satu namun ia tetap dianggap cemerlang.
“Atlet telah memberi persembahan yang terbaik, janji mereka untuk menyumbang pingat emas telah berjaya ditunaikan,” katanya berbangga dengan prestasi atlet Pahang. – MOHD IMRAN IZZAD