Automatik air mata mengalir

Automatik air mata mengalir

KUANTAN: Seorang ibu tunggal tidak dapat menahan sebak sebaik mendengar ucapan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy pada Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) 2022 di Tanjung Lumpur di sini, hari ini.

Laili Asniza Mansur, 43, dari Triang, Bera, berkata dia amat terharu kerana terpilih sebagai penerima RRP tahun ini.

Penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 3 Tahun 2022, Laili Asniza Mansur dari Bera

“Sudah lama saya mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri. Jadi bila MB (Wan Rosdy) bercerita mengenainya, secara automatik air mata saya mengalir kerana terharu dan pada masa sama, gembira yang amat sangat.  

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan pemberian ini yang akan menjadi tempat berteduh untuk saya dan anak, Mohd Azmi, 21 dan Nurul Ain, 12,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.

Bagi warga emas, Nor Aini Ibrahim, 71, dia amat berterima kasih kerana terpilih menerima hadiah bernilai RM75,000 daripada Kerajaan Pahang itu yang dianggapnya bagaikan mimpi.

Penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 3 Tahun 2022, Nor Aini Ibrahim dari Kuantan

“Syukur sangat apabila YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) luluskan permohonan untuk memiliki kediaman RRP.

“Saya memohon RRP kerana rumah sedia ada begitu uzur akibat dimakan anai-anai. Oleh itu, saya sungguh gembira apabila diberitahu permohonan saya diluluskan,” katanya yang mempunyai enam anak dan 30 cucu.

Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM20 juta untuk membina 269 unit RRP bagi tahun ini. – HELMY ABD RAHMAN